Wednesday, January 18, 2006

USAHAWAN MUDA

Sherena mahu martabatkan makanan Melayu
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH


Muda dan perwatakannya juga cukup menyenangkan. Dia sangat bersederhana walaupun sudah memiliki sebuah restoran sendiri. Usia setahun jagung dalam perniagaan bukan menjadi ukuran untuk patah semangat dalam bidang ini. Berbekalkan kepada azam yang kuat dan dorongan keluarga, dia cuba mencipta nama setaraf dengan pemilik restoran yang terkenal di negara ini.

Sherena Razaly Wahi, 30, mudah didekati. Berbicara santai mengenai penglibatannya dalam perniagaan makanan menyerlahkan lagi perwatakannya yang amat ramah, sesuai dengan peranannya sebagai pemilik dan pengurus restoran ENAK Kuala Lumpur.

Penglibatan Sherena dalam pembukaan restoran itu pada awalnya tidak dirancang. “Saya hanya terlibat dalam membuat keputusan seperti lokasi dan reka bentuk pada awalnya dan secara berperingkat-peringkat saya terlibat 100 peratus. Galakan ayah yang banyak memberi idea, emak yang kreatif dalam menyediakan menu-menu istimewa dan kakak yang turut memberi galakan merupakan resipi utama kejayaan saya pada hari ini,’’ katanya.

Semangat untuk memartabatkan makanan Melayu telah mendorong Sherena menceburi bidang itu.Restoran di gedung Starhill, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang direkabentuknya sendiri dibuka untuk mencipta suasana yang selesa dan perkhidmatan yang baik.

“Saya suka makanan Melayu tapi di Kuala Lumpur sedikit sangat restoran yang menghidangkan makanan Melayu dan saya merasakan makanan itu seolah-olah diketepikan,’’ jelasnya.Sifat cintakan adat dan budaya jarang ditemui pada anak Malaysia yang berpendidikan Barat. Tetapi tidak bagi Sherena. Baginya, adat dan budaya perlu disanjung tinggi.

Berpegang pada prinsip tersebut, segala risiko dan cabaran cuba diatasinya secara bijak walaupun dalam senario perniagaan makanan memang wujud persaingan sengit.
“Perniagaan ini memang banyak persaingan tetapi di Starhill, kami bekerjasama. Walaupun setiap restoran menyediakan makanan yang berbeza, secara amnya semua pihak bekerjasama. Hanya ENAK KL yang menyediakan makanan Melayu dan Indonesia dan kami cuba bantu-membantu. Misalnya, kalau ada pelanggan yang inginkan makanan Thai, kami akan bawa mereka ke restoran tersebut,’’ katanya.

Menurutnya, lelaki atau wanita, bukan menjadi persoalan untuk menjadi pengurus yang berjaya. Yang penting kita bersikap profesional.Sikap memahami pekerja dan belajar daripada pekerja yang berpengalaman menjadikan pentadbiran restoran ENAK lebih mudah dan teratur.

“Saya selalunya bersikap mengikut keadaan. Saya tidak tegas dan tidak juga lembut. Kita sebagai ketua perlu tumpu pada satu sikap sahaja,’’ ujarnya. Kebolehan Sherena juga optimis pada kebolehan diri. Dia sentiasa berfikiran positif kerana agenda tahun-tahun mendatang berkaitan diri dan restorannya sudah terbentang dalam mindanya.

Menceritakan latar belakang dan kejayaannya, Sherena pernah belajar di United Kingdom selama enam tahun dan kemudian bekerja dengan bapanya sebagai arkitek dan pengurus projek.

Dia memulakan perniagaannya pada Mei lalu dan pada peringkat permulaan, dia telah melakukan dua kerja dalam satu masa iaitu tugas di pejabat dan restoran. Disebabkan ingin memberi komitmen sepenuhnya terhadap restoran, dia menghabiskan masa sepenuhnya di restoran itu mulai Ogos lalu.

“Insya-Allah bila perniagaan saya sudah berjalan lancar, saya akan cuba keluar daripada rutin biasa saya,’’ ujarnya yang mengakui bidang seni binadan berniaga memang banyak perbezaan.

Tambah Sherena, perniagaan memerlukannya berinteraksi dengan orang ramai terutama pelanggan yang berkunjung di restorannya. Pengunjung restorannya bukan sahaja tertumpu kepada orang tempatan. Kumpulan pelancong asing menjadi pelanggan majoriti restorannya.

Dalam kesibukannya menguruskan restoran, Sherena tidak lupa menjaga kesihatan dalam dan luar diri agar penampilannya sentiasa nampak segar dan ceria. Ini bersesuaian dengan tugasnya yang selalu melibatkan orang ramai.

“Saya banyak makan buah-buahan seperti lobak, epal hijau serta oren dan dalam sehari saya akan minum dua gelas jus,’’ katanya.

Bukan itu sahaja, dia gemar berkongsi cerita bersama-sama teman-teman sambil menari di samping melakukan senaman sebagai kunci untuk mengelakkan tekanan kerja.

Bercerita tentang perkembangan restorannya, Sherena menekadkan azam untuk melakukan pencapaian terbaik dalam perniagaannya dan dia yakin secara perlahan-lahan perkembangan restorannya semakin baik walaupun banyak rintangan yang terpaksa dihadapi.


p/s: Kan bagus kalau aku jadi seperti seperti dia, memang aku idamkan untuk membuka sebuah restoran namun apakn daya....

No comments: